Wednesday, July 28, 2010

MASUK SYURGA

Rasulullah s.a.w. bersabda:

Sesiapa yang mati dalam keadaan bersih daripada tiga perkara akan masuk syurga, iaitu sombong, berhutang dan menipu





Sombong ertinya merasa hebat. Merasa pintar, merasa kaya, merasa kuat, merasa cantik dan sebagainya. Orang sombong biasanya meremehkan orang lain. Menurut ilmu tasauf, kalau kita merasa lebih hebat dari orang lain sudah termasuk takbur atau sombong.

Namun barangkali berat menghindarinya. Kalau timbul perasaan seperti itu, hendaklah kita ingat siapa yang memberi kelebihan itu kepada kita dan hendaklah diikuti dengan perasaan syukur. Janganlah bersifat takbur atau sombong kerana dapat menghalang kita untuk masuk syurga.

Hutang juga menyebabkan seseorang tidak masuk syurga. Kata Nabi orang yang mati syahid pun tidak masuk syurga kalau dia meninggalkan hutang dan dia memang sudah bertekad tidak membayarnya. Rasulullah dahulu tidak mahu menyembahyangkan jenazah sebelum ada orang yang sanggup membayar hutangnya.

Dari Abu Hurairah, beliau berkata: "Bahawa seorang lelaki yang meninggal dunia didatangkan kepada Rasulullah s.a.w. Maka Rasulullah bertanya, apakah dia ada meninggalkan harta untuk membayarnya, maka beliau akan melaksanakan jenazah itu. Jika tidak, maka beliau akan berkata kepada kaum muslimin: "Solatkanlah kawan kamu ini."

Hadis ini menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. tidak mahu menyembahyangkan orang yang mati meninggalkan hutang. Beliau hanya menyuruh para sahabat untuk menyembahyang jenazah itu.

Jadi, kalau ada orang yang meninggal dunia dan meninggalkan harta, maka hartanya itu diambil untuk menguruskan jenazahnya, untuk membayar hutangnya dan juga melaksanakan wasiatnya. Ini menunjukkan pentingnya membayar hutang.

Menipu juga menyebabkan seseorang tidak masuk syurga. Mengapa begitu besar dosa menipu, kerana orang yang ditipu biasanya sangat terluka hatinya.

Berdasarkan hadis ini siapa yang bersih daripada tiga perkara, seperti disebutkan dalam hadis di atas, akan masuk syurga. Namun ada lagi hadis lain yang mengatakan penyebab tidak masuk syurga. Misalnya derhaka kepada ibu bapa, mengadu domba dan sebagainya. Hadis di atas sekadar menunjukkan betapa besar dosa yang tiga perkara itu.



No comments: