Sunday, July 4, 2010

LELAKI YANG TELAH MEMBUNUH 99 MANGSA


Diriwayatkan oleh Bukhari-Muslim daripada Abi Sa'id RA bahawasanya
Rasulullah SAW bersabda:


"Di kalangan umat sebelum kamu terdapat seorang lelaki yang telah membunuh sebanyak 99 jiwa. Dia lalu bertanya kepada orang ramai mengenai tokoh yang paling alim pada ketika itu. Orang ramai memberitahunya mengenai seorang rahib (tokoh agama). Lelaki mendatanginya dan berkata kepadanya bahawa dia telah membunuh 99 jiwa. Dia bertanya apakah ada peluang baginya bertaubat? Rahib menjawab: "Tidak". Lantas lelaki itu membunuh rahib tersebut menjadikan jumlah jiwa yang dibunuhnya sebanyak 100 orang. Lelaki itu tidak putus asa dia bertanya lagi kepada orang lain mengenai tokoh yang lain yang pada ketika itu. Dia ditunjukkan kepada seorang yang alim (bukan rahib). Lelaki itu mendatanginya dan berkata kepadanya bahawasanya dia telah melakukan sebanyak 100 kes bunuh. Dia bertanya adakah jalan baginya untuk bertaubat? Orang alim itu menjelaskan: "Ya ada, siapakah yang dapat menghalangi seseorang daripada bertaubat." Pergilah ke negeri ini (dengan menjelaskan ciri-ciri dan tanda-tandanya) di sana terdapat kumpulan manusia yang menyembah Allah. Engkau hendaklah menyembah Allah bersama-sama mereka, engkau jangan sekali-kali ke negerimu, kerana ia adalah negeri orang-orang jahat." Lelaki itupun pergi, sehingga apabila dia tiba di tengah jalan dia didatangi Malaikat Maut. Setelah dia meninggal dunia, Malaikat Rahmat dan Malaikat 'Azab berselisih pendapat mengenai kedudukan lelaki tersebut. Malaikat Rahmat berkata: "Dia telah datang untuk bertaubat dan menghadapkan hati murninya kepada Allah SWT." Malaikat 'Azab membantah dengan hujahnya: "Dia belum pernah melakukan sebarang kebaikan selama ini." Dalam keadaan itu mereka didatangi seorang Malaikat lain berupa manusia. Mereka yang bertengkar tadi menjadikannya sebagai pendamai. Dia berkata: "Cubalah ukur di antara dua negeri tersebut (antara negeri orang-orang yang soleh dan negeri orang-orang yang jahat dengan tempat lelaki ini meninggal dunia), mana yang lebih dekat jaraknya, orang yang mati ini akan digolongkan ke dalamnya." Mereka mula mengukurnya. Mereka mendapati bahawa jarak menuju ke destinasi yang ingin dituju oleh lelaki itu lebih dekat sejengkal berbanding negeri yang ingin ditinggalkannya. Maka mayat itu terima oleh Malaikat Rahmat.


***


Maka semestinya orang yang berakal dapat mengambil iktibar dan pengajaran daripada cerita ini dan menyedari bahawa rahmat Allah sangat luas, dapat menerima dan memaafkan dosa seseorang walau bagaimana besar dan banyaknya sekalipun.

No comments: