Friday, December 16, 2011

IHSAN SESAMA INSAN

Ihsan juga dituntut semasa bergaul sesama manusia. Tuhan menjelaskan dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud, "Buatlah ihsan sebagaimana Allah telah membuat kebaikan kepadamu. Janganlah kamu lakukan kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melakukan kerosakan."

Berhubung dengan perintah melakukan ihsan yang terdapat dalam ayat ini, Imam Ibn Kathir berkata: "Buatlah kebaikan kepada hamba-hamba Tuhan sebagaimana Tuhan berbuat baik kepada kamu." Dalam hadis yang lain yang dilaporkan oleh Imam Tabrani dan Bazzar, nabi berkata, "Mahukah aku tunjukkan tentang sesuatu yang akan menaikkan darjatmu? Bersopan santunlah dengan mereka yang tidak mempedulikanmu. Maafkanlah mereka yang menzalimimu. Berikanlah kepada mereka yang bakhil terhadapmu. Hubungilah mereka yang memutuskan hubungan persaudaraan denganmu."

Antara insan yang wajib kita gauli dengan ihsan adalah ibu bapa kita. Tuhan menyatakan dalam surah al-Israk ayat 23 yang bermaksud, "Dan Tuhanmu telah memerintakan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat ihsan (iaitu kebaikan) kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Apabila salah seorang antara mereka ataupun kedua-duanya mencapai umur tua, janganlah kamu mengucapkan perkataan 'uh' kepada mereka dan janganlah kamu membentak mereka. Sebaliknya ucaplah kepada mereka ucapan yang mulia."

Konsep ihsan sesama manusia diperincikan lagi dalam surah an-Nisak ayat 36 yang bermaksud, "Sembahlah Allah dan janganlah kamu mempersekutukannya dengan suatu apa pun. Dan berbuat ihsanlah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga yang dekat dan tetangga yang jauh, rakan-rakan karib, ibnus sabil (iaitu mereka yang terputus bekalan dalam perjalanan termasuk juga anak-anak yang tidak diketahui ibu bapa mereka) dan hamba sahayamu. Sesungguhnya Tuhan tidak menyukai mereka yang sombong dan yang suka membangga-banggakan diri."



No comments: