Monday, May 9, 2011

PERANAN HATI YANG SEJAHTERA DI MAHSYAR

Nabi Muhammad SAW membaca firman Allah SWT dalam surah Al-A'araf ayat 8-9: "... Maka barang siapa yang berat timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya (beruntung). dan sesiapa yang ringan timbangan kebaikannya, maka mereka itulah orang yang merugikan dirinya sendiri..."


Sikiranya antara amal baik dan amal buruk itu sama berat dalam timbangan, maka orang itu akan dihantar ke suatu tempat bernama Al-A'araf, mereka tidak akan masuk ke syurga dan tidak juga ke neraka."

Walaupun As-habul A'araf tidak dimasukkan ke dalam neraka, namum mereka amat kesal tidak berjaya memasuki syurga kerana timbangan amal baik dan amal buruk mereka sama berat. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana apabila seseorang sampai di akhirat, maka sudah berakhirlah segala usaha dan ikhtiar.

Manusia mesti mempunyai bekalan modal untuk menemui Tuhan. Ibarat orang yang ingin menjadi usahawan berjaya, antaranya mesti ada modal sama ada modal pengetahuan dan pengalaman atau modal wang ringgit. Apatah lagi untuk mencapai keuntungan di Akhirat, semestinya memerlukan modal yang besar. Modal yang utama antara manusia dengan Tuhan ialah diri mereka, iaitu "hati."

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang masyhur: "Ketahuilah bahawa di dalam jasad itu ada seketul darah, jika baik maka baiklah seluruh jasad, jika rosak maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah bahawa ia adalah "hati."

Ka'ab bin Akhbar meriwayatkan: "Ada dua orang sahabat karib di Akhirat, seorang daripada nya diheret oleh malaikat Zabaniah ke dalam neraka kerana timbangan amal kejahatannya lebih berat sedikit berbanding dengan amal kebaikannya. Lalu timbullah rasa belas di hati rakannya dan ingin membantunya. Disebabkan dia mempunyai lebihan satu amal kebajikan yang menyebabkan dia masuk ke syurga, maka dia menyerahkan satu kebajikan kepada rakan karibnya itu supaya terselamat daripada api neraka."

Pada saat yang begitu mencemaskan, dia masih ingin membuat kebaikan kerana dengan menyerahkan satu kebajikan dia akan dapat menolong sahabat karibnya walaupun dengan ketiadaan satu kebajikan itu menyebabkan dia tidak masuk ke syurga sebaliknya akan menjadi As-habul A'araf. Dia reda menjadi As-habul A'araf demi persahabatannya yang terjalin erat di dunia dahulu.

Meskipun tidak diketahui dari mana riwayat itu diambil oleh Kaab bin Akhbar, namun Kaab adalah sahabat Nabi SAW. Apa yang penting untuk diambil pelajaran daripada riwayat itu ialah pentingnya seseorang itu mendidik hati sehingga menjadi hati yang sejahtera (qalbun salim).

Ini kerana dengan memiliki hati yang sejahtera, mereka akan terbiasa suka hendak membantu dan monolong orang lain yang dalam kesusahan, sehingga sampai di Mahsyar pun mereka masih lagi mempunyai azam hendak membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.




No comments: