Monday, November 8, 2010

I'M BACK! HORMAT: JANGAN SAMPAI MENGHINA DIRI


ISLAM menggalakkan umatnya menghormati para ulama, orang- orang yang soleh iaitu orang-orang yang mendapat kelebihan daripada Allah SWT.

Rasulullah SAW melarang perbuatan menghormati orang-orang yang sombong dan takbur. Orang yang takbur tidak wajar dihormati. Sesuai dengan amaran baginda: "Barangsiapa yang suka dan mengharap orang lain bangun menghormati dirinya, bererti dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka."

Menghormati dan memuliakan ulama dan orang yang soleh adalah wajar, kerana para ulama dan pewaris perjuangan para nabi. Sebagai menghargai jasa dan sumbangan mereka kepada agama, wajarlah penghormatan itu kepada mereka. Para ulama dan orang-orang yang soleh tidak pernah mengharap supaya diri mereka disanjung dan dihormati, kerana ia bercanggah dengan sifat tawaduk yang ada pada diri mereka. Apa yang dilakukan oleh para ulama adalah kewajiban yang mesti dilaksanakan terhadap agama. Lantaran khidmat para ulama yang ikhlas itu, orang ramai dengan senang hati menghormati mereka tanpa didorong ataupun dirancang oleh mana-mana pihak. Hormat semata-mata kerana rasa sayang terhadap orang yang sewajarnya dimuliakan.

Individu bagaimanakah yang harus dihormati dan yang ditegah menghormatinya. Hendak menghormati orang-orang yang soleh, tidak perlu sebarang usaha dan protokol. Hormat kepada seorang yang telah menabur bakti kepada agama, berlaku secara spontan. Sifat tawaduk adalah antara ciri-ciri orang yang soleh. Jika ada orang bangun menghormati kehadirannya, orang yang soleh itu pasti tidak merasa gembira dengan penghormatan itu, kerana ia bukan suatu keperluan.

Sebaliknya orang yang soleh itu akan sentiasa menawarkan bantuan terhadap orang lain yang memerlukan. Semestinya orang yang soleh dan para ulama itu berperanan sebagai pengajar ataupun jurunasihat dengan ikhlas. Orang yang soleh semestinya bersifat tawaduk, mereka sentiasa terbuka untuk menerima teguran. Kerana sebagai manusia mereka juga tidak sunyi daripada kelemahan. Kemungkinan berlaku kesilapan ataupun kesalahan di luar kesedaran mereka.

Inilah cara hidup orang soleh yang sentiasa merendah diri terhadap saudara mereka, tidak terbuka hati untuk mengharapkan penghormatan ataupun sanjungan daripada orang lain. Seperkara lagi yang diperlu difahami, walaupun Islam menggalakkan supaya menghormati orang alim dan orang-orang yang soleh, namum dalam perkara hormat menghormati itu ada batasannya. Hormat sesama manusia hendaklah penuh waspada, jangan melampaui batas yang digariskan oleh syariat.





No comments: