Friday, August 27, 2010

MUSAFIR YANG BERTEDUH DI BAWAH POHON RENDANG


ABDULLAH bin Mas'ud RA, seorang sahabat yang juga murid setia Rasulullah SAW sentiasa berada di sisi baginda. Abdullah meneliti dan mencatat setiap yang diucapkan oleh Rasulullah SAW serta mengambil pengajaran daripada setiap perbuatan baginda. Demikianlah caranya beliau menimba ilmu.

Suatu ketika, Abdullah melihat Rasulullah SAW sedang berbaring. Apabila baginda bangun dari tempat pembaringannya, beliau terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang Nabi SAW kerana tikar itu diperbuat daripada daun kurma yang kasar, maka kesan tikar itu amatlah ketara. Timbullah rasa belas kasihan di hati Abdullah bin Mas'ud.

Berkata Ibnu Mas'ud: "Ya Rasulullah sekiranya kamu perintahkan aku untuk mencari sebidang hamparan yang lembut nescaya aku akan berusaha untuk mendapatkannya."

Akan tetapi Rasulullah SAW bersabda:
"Bagiku, berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar untuk berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan."

Hadis Nabi SAW itu adalah suatu peringatan terhadap manusia. Bahawa kesempatan yang diberikan kepada manusia untuk hidup di dunia ini bukanlah kekal buat selama-lamanya. Sebaliknya, dunia hanyalah tempat persinggahan untuk membuat persiapan, mencari bekalan bagi menghadapi suatu penghidupan yang abadi di Akhirat kelak.

Inilah hakikat yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada umatnya, bahawa kehidupan di dunia ini ibarat singgah berteduh di bawah sepohon kayu ketika hari panas untuk sekadar berteduh bagi menghilangkan letih atau singgah mencari bekalan. Setelah badan kembali segar selepas berehat, seharusnya mereka tidak lalai untuk meneruskan perjalanan.

Contoh yang diberi oleh Nabi SAW tentang kehidupan di dunia ini amat mudah difahami. Meskipun Nabi menyebut ibarat singgah sejenak berteduh di bawah pohon yang rendang, tetapi kadang kala manusia menjadi asyik dan terlena, apatah lagi jika pohon tempat berteduh itu sedang berbuah lebat dan ranum. Berehat sambil makan buah-buah, serta hembusan bayu yang nyaman, sungguh mengasyikkan.

Walaupun disebut singgah hanya sekejab, namun tempoh masa itu bergantung pada umur manusia, lazimnya antara sekitar 60 tahun, iaitu sekitar usia Rasulullah SAW. Jika dibandingkan dengan usia dunia, tentulah tidak lama, apatah lagi jika dibandingkan dengan kehidupan di Akhirat yang ukuran seharinya bersamaan dengan seribu tahun di dunia. Maka kehidupan yang disebut singgah sebentar di dunia itu hanyalah satu detik yang amat singkat.

Masa yang sangat singkat itu adalah suatu kesempatan yang mesti dihargai. Jika kesempatan itu tidak diisi sepenuhnya untuk menyediakan bekalan kerana dilalaikan oleh kenikmatan mata benda yang tidak seberapa, maka kesempatan kedua tidak akan ada lagi.

Manusia yang dilalaikan dengan kehidupan dunia akan menghadapi penyesalan yang tidak berkesudahan. Di dalam Al-Quran ia digambarkan:

"Ya Tuhan kami. Kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia, kami akan mengerjakan amal yang soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."
(As-Sajadah: 12)

Demikianlah penyesalan orang-orang yang lalai terhadap peranan mereka di dunia ini. Mereka cuba memohon kepada Tuhan agar dikembalikan ke dunia untuk melakukan amal yang soleh, selepas mereka melihat dengan mata kepala sendiri datangnya hari Akhirat, seperti yang dikhabarkan oleh para Rasul semasa di dunia dahulu.

Ad-dunya darul amal atau dunia tempat melakukan segala amal atau kerja dan setiap amalan menurut apa yang telah digariskan oleh para Rasul AS. Dengan adanya para Rasul bagi setiap umat bererti manusia telah dibekalkan dengan segala keperluan. Bekalannya ialah akal, ilmu, akidah, harta dunia, masa dan tubuh badan.

Manusia mesti beramal atau bekerja bagi menyediakan bekalan hari Akhirat. Bekalan itu bukanlah sekadar ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya, tetapi sebarang urusan yang melibatkan harta dunia seperti bertani, berniaga, menjadi nelayan atau usahawan, pengurus serta pentadbir dan seumpamanya. Semuanya akan menjadi urusan Akhirat jika dilakukan mengikut garis yang ditetapkan oleh syariat.

Visi Akhirat bagi manusia bukan sekadar menghubungan diri dengan Allah SWT melalui ibadat-ibadat yang khusus, tetapi juga mesti melakukan perhubungan sesama manusia, sama ada dalam urusan muamalah atau pun dalam urusan kemasyarakatan, kenegaraan dan lain-lain. Ia merupakan kepelbagaian dalam menyediakan bekalan Akhirat untuk menempuh suatu perjalanan yang jauh. Oleh itu bekalan juga harus berpadannan.

Jika hidup di dunia dalam masa yang singkat ibarat berteduh di bawah pohon, manusia mesti menggunakan segala peluang yang ada. Masa yang begitu singkat mesti digunakan semaksimum mungkin bagi membina kepakaran dan kesungguhan dengan menggunakan modal yang ada, iaitu ilmu, akal, tenaga, tubuh badan, harta dunia, akidah dan syariah dan lain-lain bagi menjamin bekalan Akhirat dapat dipenuhi.

Demikianlah hakikat dunia yang disebut sebagai ad-dunya darul amal, wal-akhiratu darul jaza' - dunia sebagai gelanggang melakukan amal dan segala gerak kerja, sementara Akhirat itu adalah negara untuk menerima pembalasan. Jika di dunia yang singkat waktunya ini, kita terlalai dengan kenikmatan yang sementara, dibimbangi jika penyesalan bakal menunggu di Akhirat.




No comments: