Sunday, September 11, 2011

ALLAH JAGA MANUSIA

IDRIS, berkata: "Walau di mana pun kita berada, janganlah bergantung pada raja. Apa yang kita mahukan daripada seorang raja? Apabila raja murka dia pasti menghukum kita. Apabila dia jemu, kita pasti dibuang begitu sahaja. Oleh itu, berlingdunglah hanya kepada Allah dan jauhi istana raja-raja. Sesungguhnya berdiri di pintu istana raja adalah satu penghinaan, tetapi berserah dan bertawakal kepada Allah adalah satu kemuliaan."

Idris - ayah kepada Imam Syafie

....Selepas mendapat keizinan daripada suaminya, maka Ummu Habibah al-Uzdiyya membaca surah Yusuf dan surah Luqman. Selesai membaca kedua-dua surah itu baharu dia tidur. Itulah yang diamalkannya sejak mula mengandung. Dia berharap semoga anak yang dikandungnya memiliki paras rupa yang cantik dan cerdik.

Ummu Habibah al-Uzdiyyah - ibu kepada Imam Syafie

CONTRIBUTED ARTICLE

Sesungguhnya aku berkeyakinan penuh bahawa Tuhan akan mengawal dan mengawasi aku dalam segenap perkara, di mana segenap benda yang ada di dunia ini ialah bekas tangan Tuhan. Tuhan tidak lempar kita ke dunia ini begitu sahaja, bahkan Dia jaga, Dia awasi, Dia tengok siapa yang pandai menjaga diri mereka semasa hidup ini. Ketika itu pandailah Allah SWT memperbetulkan keadaan-keadaan di dunia ini.

Hidupnya manusia di atas muka bumi, tidak pernah terlepas daripada kawalan Allah SWT. Tanpa kawalan Allah SWT sudah pasti manusia akan berada dalam keadaan yang huru-hara. Misalnya, apabila berjalan masuk parit, berlaga sesama sendiri dan banyak lagi.

Antara kawalan Allah SWT terhadap manusia adalah Dia memberi nyawa kepada manusia tanpa mengharapkan balasan satu sen pun. Bayangkan kalau Allah SWT meminta bayaran di sebalik nyawa yang diberikan kepada manusia, sudah pasti hidup manusia berada dalam keadaan yang susah. Lihat sahaja ketika kita menggunakan jalan yang dikenakan tol. Itu pun, kadangkala menyebabkan kita mengeluh. Inikan pula kita bernafas, kita menggunakan alat kepunyaan Allah SWT. Sudah pasti kita akan mengeluh dan merasa susah andai segalanya itu dikenakan bayaran oleh Allah SWT.

Semua pemberian Allah SWT ini, tidak pernah mengharapkan bayaran satu sen pun. Akan tetapi apa yang Allah SWT mahukan adalah manusia mengamalkan perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Malah, segala perintah dan larangan yang diperintahkan itu, bukan disuruh melakukannya dengan percuma, bahkan diberikan gaji pula oleh Allah SWT kepada sesiapa yang mentaatinya. Gaji tersebut bernama pahala, dan ia akan menjadi bekalan makanan kehidupan kita di akhirat kelak.

Demikianlah pemurahnya Allah SWT Yang Maha Pemurah. Allah SWT memberikan segala nikmat seperti nyawa, udara dan sebagainya secara percuma kepada manusia. Sebaliknya, segala suruhan dan larangan yang ditaati oleh manusia akan diberikan ganjaran iaitu pahala yang kelak akan mendatangkan manfaat besar untuk manusia pada hari akhirat. Dengan adanya pahala hasil daripada ketaatan terhadap perintah Allah SWT seseorang manusia itu akan mendapat syurga-Nya dan sudah pasti dia akan hidup di akhirat kelak dalam keadaan bahagia buat selama-lamanya.




No comments: