
Berhubung dengan penjagaan rambut, menurut Abu Daud, Nabi Muhammad berkata, "Sesiapa yang dikurniakan rambut, peliharalah ia dengan baik." Nabi Muhammad juga bercelak, menurut Tarmizi dan Ibn Majah berdasarkan laporan daripada Abdullah Abbas, "Nabi Muhammad mempunyai tempat menyimpan celak dan baginda memakai celak itu pada setiap malam..." Bagi mereka yang beruban, Nabi Muhammad mengizinkan mereka mewarnakan rambut mereka dengan menggunakan warna selain hitam. Warna hitam apabila digunakan ke atas orang tua yang beruban, boleh mendatangkan fitnah pada diri sendiri dan orang lain. Menurut Muslim, Nabi Muhammad berkata, "Bawalah (lelaki yang beruban itu) kepada isterinya dan ubahlah warna rambutnya dengan sesuatu tetapi jangan digunakan warna hitam."
Penjagaan kecantikan yang melampau dilarang oleh agama. Justeru, Islam tidak membenarkan pembedahan kecantikan dan menganggapnya sebagai percubaan mengubah kejadian Tuhan. Allah berkata dalam surah an-Nisak ayat 119, "Dan aku (syaitan) pasti menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah." Dr. Yusuf Qardawi berkata dalam Halal Dan Haram, "Pembedah kecantikan adalah termasuk dalam perkara yang dilaknat oleh Allah dan Rasulnya, kerana di dalamnya terdapat unsur-unsur penyeksaan dan pengubahan ciptaan Allah tanpa sebab-sebab yang kukuh. Ia hanya membawa kepada pembaziran dalam aspek zahir, tanpa mementingkan rohani. Adapun apabila seseorang mempunyai kecacatan yang menjijikkan pandangan, contohnya terdapat ketumbuhan daging yang mendatangkan gangguan kepada perasaan dan jiwa, pada waktu itu tidaklah berdosa apabila pembedahan dilakukan untuk membuangnya kerana Allah tidak menjadikan kesukaran dalam agama ini."
No comments:
Post a Comment