Friday, March 25, 2011

MEMENUHI MASA MUDA UNTUK KEBAHAGIAAN HARI TUA

ALLAH SWT menganugerahkan pelbagai peluang secara percuma untuk hamba-Nya. Kita diminta agar merebut peluang-peluang tersebut serta memanfaatkan sepenuhnya. Jika seseorang itu cuai atau terlalai daripada merebutnya, pasti mereka akan menanggung kerugian yang akan menimbulkan penyesalan.

At-Tirmizi dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Amru bin Maimun RA bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW telah menyampaikan pengajarannya kepada seorang lelaki dengan sabda baginda:

"Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua; masa sihat engkau sebelum engkau dilanda sakit; masa kaya engkau sebelum engkau jatuh papa; masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk; dan masa hidup engkau sebelum datang saat kematian."

Peringatan itu diberikan oleh Rasulullah SAW dengan suatu tawaran berfaedah, supaya manusia tidak mensia-siakan peluang yang diperolehi secara percuma. Ibarat mendapat harta ghanimah, keuntungan tanpa memerlukan modal, sedangkan bagi orang berniaga, untuk mendapatkan keuntungan mesti melalui modal.

Justeru, Rasulullah SAW menganjurkan agar kesempatan yang datang secara percuma itu tidak dibiarkannya berlalu sia-sia. Ini kerana sekiranya seseorang diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk hidup dengan umur yang panjang, pasti ia akan menempuh masa muda. Masa muda itu diberi dengan tidak payah diminta.

Masa muda jangan dibiarkan berlalu tanpa erti kerana ia penuh dengan kecergasan fizikal dan mental. Pergerakan jasmani yang kuat untuk melakukan sesuatu pekerjaan atau amal, sementara mental remaja yang segar memberi ruang yang cukup untuk mencapai berbagai-bagai ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Masa muda tidak akan bertahan kerana usia akan menjangkau dewasa dan akirnya tibalah masa tua. Setiap detik yang berlalu tidak akan berulang lagi, saat remaja hanya akan menjadi kenangan. Jika masa remaja tidak dipergunakan menurut selayaknya, pastilah ia akan meninggalkan kenangan pahit tatkala hari tua.

Masa tua, segala-galanya tidak ada yang indah, kudrat tenaga sudah lemah, selera makan sudah menurun meskipun disajikan makanan yang serba lazat, sering dilanda sakit kerana keupayaan fizikal untuk melawan penyakit semakin lemah, keterbatasan pula mula melingkungi diri.

Dalam situasi sedemikian, mungkin seseorang baru menyedari betapa masa muda itu amat berharga. Oleh ini mensia-siakan masa muda yang sangat bererti bagaikan menempah derita untuk menanggung penyesalan. Menyesal kemudian hanyalah suatu kesengsaraan.

Masa muda yang diberikan secara percuma oleh Allah SWT itu, akan ditanya semula pada hari perhitungan kelak, kerana ia bukan sahaja suatu anugerah, tetapi juga amanah. Justeru, ia pasti akan ditanya oleh Penganugerahnya. Untuk gerangan apakah usia muda itu dipergunakan, sama ada untuk melakukan ketaatan atau sebaliknya?

Segenap masa muda yang dipenuhi dengan perkara yang selayaknya sebagai seorang Mukmin, sama ada dalam bidang ilmu dan amal, pasti akan menjadikan masa tua penuh dengan kesyukuran. Jika tidak, Allah SWT telah mengingatkan hamba-Nya dengan firman-Nya:

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Memudian Kami Kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus." - (At-Tin : 4,5 dan 6)





No comments: