Monday, February 14, 2011

ORANG YANG BERSELAWAT MENDAPAT SYAFAAT


IMAM At-Tarmizi meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Amru bin 'Ash RA yang berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya Allah SWT akan membawa seorang daripada umatku ke hadapan orang ramai di akhirat kelak untuk dibentangkan 99 sijil di hadapan mereka. Setiap keping sijil itu luasnya adalah sejauh mata memandang. Dalam setiap sijil itu ditulis segala amalannya. Kemudian Allah Taala bertanya kepada orang itu: "Adakah sesuatu catatan dalam sijil itu yang hendak kamu bantah? Adakah jurutulis (malaikat yang mencatat amal) telah menganiaya kamu? Adakah kamu berasa hendak meminta uzur (meminta maaf) daripada Aku? Jawab orang itu: Tidak wahai Tuhanku (tidak membantah dan tidak meminta uzur)".

"Tuhan berkata kepada orang itu: "Bahkan sesungguhnya Aku mendapati terdapat berapa kebaikan pada engkau, oleh itu pada hari ini aku sedikitpun tidak akan menzalimi engkau." Tuhan mengeluarkan selembar daripada sijil (catatan amal) orang itu, didapati di dalamnya mengandungi catatan kalimah: Asyhadu an-Lailaha illallah wa asyhadu anna Muhammadan 'abduhu wa Rasuluhu".

"Setelah itu Allah SWT memerintahkan orang itu supaya hadir ke tempat timbangan untuk menimbang selembar kertas yang mengandungi kalimah "Lailaha illallah" itu. Orang itu bertanya kepada Tuhan: Ya Rabbi, untuk tujuan apakah lembar ini? Jawab Tuhan: "Sesungguhnya engkau tidak akan dizalimi ataupun tidak menzalimi sesiapapun."

"Kemudian Allah Taala meletakkan lembar yang bertulis kalimah "La Ilaha Illallah" ke dalam satu daripada ceper (piring) timbangan Akhirat, sementara ceper timbangan yang di sebelahnya dipenuhkan dengan 99 lembaran sijil-sijil yang diberikan kepada orang itu. Apabila ditimbang, maka lembar yang mengandungi kalimah Syahadah itu lebih berat berbanding dengan 99 sijil yang mengandungi berbagai-bagai catatan amalan yang lain".

Melalui hadis riwayat At-Tirmizi itu, dapat difahami bahawa tidak ada amalan yang lebih berat dalam timbangan Akhirat selain amalan yang berasaskan kalimah La Ilaha Illallah. Ini kerana kalimah La Ilaha Illallah itu merupakan pati atau intisari kepada sekalian amalan.

Inilah yang dikatakan "paksi ibadat" dalam kehidupan orang-orang yang beriman, sama ada ibadat fardu seperti solat fardu, ataupun sedang lena tidur, ataupun ibadat dalam bentuk berjihad dengan harta benda, tenaga dan jiwa raga untuk menegakkan Islam, supaya Islam terlaksana di dalam negara. Berdakwah, mengajar atau mengadakan kuliah agama untuk menghapuskan kejahilan umat, kesemua itu tidak lain adalah semata-mata kerana tuntutan kalimah "Lailaha illallah".

Tidak mudah untuk seseorang bangun malam, untuk menunaikan solat tahajud. Begitu juga tidak mudah bagi seseorang hendak berjihad dengan mengorbankan harta kekayaan, menggunakan masa sepenuhnya untuk perjuangan menegakkan Islam di muka bumi ini, sehingga terkorban jiwa kalaulah tidak disebabkan keyakinan terhadap tuntutan kelimah"La Ilaha Illallah" itu.

Manusia tidak gerun dengan ancaman dan gertakan orang-orang yang membenci agama Allah, tidak menghiraukan rasa letih dan mengantuk untuk bangun malam menunaikan solat tahajud dan bermunajat kepada Allah SWT. Sesungguhnya tidak ada yang menggerunkan dan melemahkan semangat seseorang apabila mereka yakin terhadap tuntutan kalimah "La Ilaha Illallah".

Sikap, pendirian serta seluruh tindakan orang-orang Mukmin itu tidak lain kerana kehendak atau tuntutan kalimah "La Illaha Illallah". Justeru apabila ia ditimbang dalam timbangan Akhirat kelak, timbangannya lebih berat daripada catatan amalan yang lain.

Dalam sebuah hadis lain, Nabi SAW bersabda: "Apabila ringan timbangan kebajikan seorang Mukmin, maka ketika itu datanglah syafaat daripada Nabi SAW. Baginda akan mengeluarkan selambar kertas yang kecil selebar jari dan mencapakkannya ke dalam piring timbangan disebelah kanan, ketika itu akan beratlah timbangan kebajikan orang itu".

"Maka terkejut besarlah orang Mukmin ini apabila seseorang yang tidak dikenali mencampakkan secebis kertas itu sehingga menyebabkan berat timbangan kebajikannya. Amat besar rasa kesyukuran orang itu apabila timbangan kebajikan tiba-tiba menjadi berat".

"Setelah dia memuji-muji orang yang menyebabkan timbangan kebajikannya menjadi berat, lalu dia bertanya: Siapakah Tuan yang bermurah hati ini? Jawab orang itu: Sesungguhnya akulah Nabi Muhammad yang selalu engkau sebut-sebut dalam selawatmu dan juga dalam solatmu".

"Adapun kertas kecil yang aku letakkan ke dalam ceper timbangan ini ialah catatan selawat yang sering engkau selawatkan kepadaku. Sekarang aku mengenang balik segala selawat yang selalu engkau ucapkan kepadaku, dengan mengembalikan catatan selawat itu kepadamu ketika kamu sangat memerlukannya".

Justeru, orang Mukmin sewajarnya membanyakkan selawat ke atas Nabi SAW pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, lebih lebih lagi pada hari Jumaat dan malamnya kerana fadilatnya lebih besar lagi. Amalan selawat ke atas Nabi SAW merupakan suatu amalan yang berat dalam timbangan Akhirat, hampir sama beratnya dengan amalan yang berasaskan tuntutan kalimah"La ilaha Illallah".

Sebuah hadis daripada Malik bin Anas dan Abdullah bin Umar berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Barang siapa yang menunaikan hajat saudaranya di dunia ini, nescaya aku akan berdiri dekat dengan tempat amalan dia ditimbang. Jika timbangan kebajikan lebih berat maka berbahagialah dia, tetapi jika timbangan kebajikan ringan nescaya aku memberikan syafaat kepadanya."

Tidak mudah untuk mendapatkan pertolongan ketika berada di Mahsyar. Susah-payah di dunia ini mungkin ramai orang yang boleh menolong tetapi jika kesusahan itu berlaku ketika amalan mereka ditimbang dan mendapati kebajikannya ringan ketika dalam timbangan, maka siapakah yang dapat menolong ketika itu jika tidak mendapat syafaat daripada Nabi SAW?




No comments: