Wednesday, November 9, 2011

AIR YANG DIABAIKAN

Air ialah asas kepada kehidupan. Allah menyatakan dalam surah al-Anbiyak ayat 30, "Dan Kami jadikan setiap hidupan daripada air. Apakah mereka tidak beriman?" Menurut Abu Daud, Tarmizi, Ahmad dan Ibn Majah, Nabi Muhammad berkata, "Apabila seseorang berbuka puasa, berbukalah dengan buah tamar. Apabila dia tidak memperoleh buah tamar, berbukalah dengan air kerana air itu pembersih." Berhubung dengan kepentingan air, Ibn Qayyim al-Jauziyah berkata, "Air bersih yang segar bermanfaat bagi mereka yang sihat dan yang sakit. Air, apabila terhimpun padanya kebersihan, kesejukan yang asli dan kemanisan, bermanfaat bagi tubuh badan dan cara yang penting bagi memelihara kesihatan. Oleh itu, Nabi Muhammad suka meminum air yang dicampuri dengan madu lebah."

Fungsi dan Keperluan Air

Air adalah bahan keperluan yang penting dalam kehidupan. Dua pertiga daripada dunia adalah air. Dalam konteks manusia, 70 peratus daripada berat badan, 70 peratus daripada otot dan 74 peratus daripada otak manusia adalah air. Air diperlukan bukan sekadar bagi menghilangkan dahaga, tetapi juga bagi melaksanakan tiga fungsi utama:

1. Megawal suhu badan disebabkan peluh mengeluarkan kepanasan melalui kulit.

2. Membawa glukosa kepada otot-otot.

3 Membuang sisa toksik daripada badan melalui air kencing.

Kita memerlukan lebih kurang 8 gelas air setiap hari iaitu setiap gelas bersamaan 240 cc, tidak termasuk minuman yang mengandungi soda dan yang mempunyai kafeina seperti kopi dan nescafe. Seorang lelaki yang mempunyai berat badan 68 kilogram memerlukan 8.5 gelas air setiap hari. Formula yang boleh diguna pakai secara umum bagi mengira keperluan air seseorang adalah, 1 oz iaitu 30 cc air diperlukan bagi setiap 1 kilogram berat badan. Keperluan ini meningkat apabila cuaca panas ataupun selepas bersenam.

Bagi yang rajin melakukan senaman, sebagai contoh senaman aerobik, sebelum memulakannya seseorang perlu minum, paling kurang, 16 oz atau 480 cc air. Semasa sedang bersenam, air yang diperlukan adalah sebanyak 4 hingga 8 0z. atau 120 hingga 240 cc bagi setiap 15 hingga 20 minit. Selepas bersenam 24 oz atau 720 cc air diperlukan.

Cara yang mudah mengesan kekurangan air dalam badan adalah dengan melihat warna air kencing seseorang, dengan syarat dia tidak mengambil ubatan ataupun vitamin yang dapat mengubah warna air kencing itu. Apabila warnanya gelap, umpamanya coklat, ia adalah petanda air dalam badan seseorang tidak mencukupi dan sebaliknya apabila warnanya jernih, airnya mencukupi.



No comments: