Wednesday, August 24, 2011

PUASA ADALAH PENAWAR


Umat Islam diwajibkan melaksanakan ibadah puasa selama lebih kurang 12 jam setiap hari di bulan Ramadan, melainkan sebab-sebab yang diizinkan oleh Islam. Allah berkata dalam surah al-Baqarah ayat 183, "Wahai mereka yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang sebelummu semoga kamu bertakwa."

Dr. Soliman dari University Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 wanita Islam yang berpuasa pada tahun 1984. Darah mereka diperiksa bagi mengenal pasti kadar cortisol, testosterone, sodium, potassium, urea, glucose, cholesterol dan asid lemak. Pada masa yang sama, berat badan mereka ditimbang pada awal dan akhir Ramadan. Di samping itu, Dr. F Azizi dan rakan-rakannya juga membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan di University Sains Perubatan di Tehran. Pemeriksaan darah bagi mengukur kadar glucose, bilirubin, calcium, phosphorus, protein, albumin, follicle stimulating hormone, thyroid stimulating hormone, testosterone, prolactin, luteinising hormone, thyroxine-4 dan thyroxine-3 dilakukan sebelum, Ramadan, pada hari ke-10, hari ke-20 dan hari ke-29 Ramadan dan berat badan mereka juga ditimbang.

Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa pada musim Ramadan tidak membahayakan kesihatan orang Islam secara amnya. Mala ia memberi kesan yang baik pada metabolisme lemak dan pengawalan berat badan seseorang. Puasa juga meredakan tekanan pada jiwa seseorang kerana, di samping tidak makan, minum dan bersetubuh di siang hari, orang Islam digalakkan membaca Quran, membanyakkan sembahyang menjaga lidah dan banyak bersedekah. Amalan-amalan ini menguatkan dan mendamaikan hati.

CARA MINUM YANG BETUL

Ketika minum air, Rasulullah tidak menggalakan seseorang menghabiskan minumannya dengan satu teguk. Menurut Tarmizi, beliau berkata, "Janganlah kamu habiskan minuman dengan satu teguk seperti unta tetapi minum dengan dua ataupun tiga teguk. Sebut Bismillah apabila kamu hendak minum dan puji Allah apabila kamu selesai." Di dalam hadis yang lain, menurut Bukhari dan Muslim, Anas bin Malik melaporkan. "Rasulullah minum dengan tiga nafas." Imam Muslim melaporkan kata-kata tambahan dalam laporan beliau iaitu, "Cara minum yang seperti ini lebih menghilangkan dahaga, lebih menyihatkan dan lebih menghadamkan."




No comments: